Kehebatan bakat bola sepak Ile-de-France dan Greater Paris

January 1, 2018 Idlan

                 

Setiap tahun, ribuan bakal bintang bola sepak di Malaysia mempertaruhkan nasib mereka dalam uji bakat Mencari Ramli, satu rancangan tv realiti yang diusahasamakan dengan Manchester United. Uji bakat diadakan di seluruh negara, dan pemenang siri ini tahun-tahun lepas sudah mula diketengahkan sebagai nafas baru dalam Liga Super dan Liga Perdana.

Mungkin program-program mencari bakat bolasepak seperti Mencari Ramli boleh terus memandang ke barat – bukan ke Manchester, tetapi sedikit selatan di benua Eropah, untuk melihat wilayah yang paling banyak menghasilkan pemain bolasepak bertaraf dunia hari ini: Ile-de-France dan Greater Paris.

‘Graduan’ dari Ile-de-France memang bernilai tinggi dan dikejar ramai: Paul Pogba, Anthony Martial, Kylian Mbappe, N’Golo Kante, Kingsley Coman, Riyad Mahrez antara lain semuanya membesar di kawasan ini.

Penulis Simon Kuper cuba menyorot apa yang istimewa tentang kawasan ini, memandangkan beliau pun tinggal di Paris dan anak-anak beliau bermain bola sepak.

Deskripsi beliau tentang apa yang berlaku – anak-anak ini bermain dalam stadium yang menjemukan, di mana ibu bapa berbaris di luar padang yang disenggang dengan sepanduk ‘Fairplay’ sambal minum kopi dalam cuaca yang amat sejuk – tidak jauh berbeza dengan apa yang penulis sendiri saksikan saban minggu di England.

Tetapi kenapakah satu wilayah di Perancis lebih banyak menghasilkan bakat bernilai kalau nak dibandingkan dengan satu England?

Kecemerlangan wilayah ini bukanlah baru – pasukan kebangsaan Perancis yang memenangi Piala Dunia pada 1998 juga menampilkan beberapa anak jati Ile-de-France: Thierry Henry, Lilian Thuram dan Patrick Vieira semuanya membesar di sini.

Pasukan tersebut terkenal dengan generasi ‘baru’ Perancis yang datang dari berbagai latarbelakang imigran; seolah satu lambang harapan masa depan Perancis sebagai sebuah negara.

Kuper pernah bertanya kepada Paul Pogba dalam satu wawancara pada 2016, kenapakah agaknya daerah di mana beliau membesar begitu kaya dengan bakat. Jawab Pogba – kerana semuanya bola. Apabila semua orang bermain bola, mereka tidak melencong kepada kegiatan tidak sihat. Jadi itulah tumpuan mereka.

Juga bagi golongan imigran, dapat melatih anak mereka menjadi pemain bola sepak ternama merupakan satu jalan keluar dari kemiskinan bandar yang menekan. Ayah Pogba dan Mbappe antara yang berjaya (ketiga-tiga adik beradik Pogba bermain bolasepak professional) tetapi begitu ramai lagi yang gagal.

Ramuan pelengkap dalam resipi ini ialah bantuan kejurulatihan dan struktur dari kelab-kelab amatur tempatan. Kelab yang kecil sekalipun, dari kawasan yang termiskin, mendapat bantuan dari persatuan bolas epak Perancis, dan diterajui oleh jurulatih yang bertauliah dan berpengalaman.

Kemudian, apabila bakat mereka mulai menyerlah, akademi-akademi seperti Le Havre atau Le Mans akan mengambil mereka untuk membimbing bakat mereka ke tahap seterusnya.

Jadi, apa ‘rahsia’ Ile-de-France dan Greater Paris?

Kepelbagaian bakat yang datang dari kelompok imigran dengan latarbelakang berbeza, kemiskinan bandar yang mendorong ibu bapa mencari jalan keluar, kepadatan penduduk di kawasan-kawasan miskin yang mendorong anak-anak muda bermain bolasepak untuk mengisi masa, struktur bolasepak amatur yang memberi disiplin kepada anak-anak muda ini dan hala tuju yang jelas di peringkat persatuan bolasepak kebangsaan.

Inilah kombinasi yang memenuhkan pasukan bola sepak Perancis untuk berentap di Rusia pada Piala Dunia 2018. Soalnya, cukupkah untuk membawa piala untuk dipamerkan dalam bas dua tingkat tanpa bumbung di jalan-jalan pinggir kota Perancis di mana pemain-pemain ini kali pertama merembat cermin rumah jiran mereka dengan bola secara tidak sengaja?

No comments

Powered by Blogger.