KT-Bypass - Bawa isu pampasan ke mahkamah jika tak puas hati - MB Razif


KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri menasihatkan pihak yang tidak berpuashati dengan pampasan berhubung projek pembangunan Kuala Terengganu-Bypass (KT-Bypass) supaya membawa tuntutan itu ke mahkamah bagi mendapat pembelaan.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata projek berkenaan dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat dan setiap jumlah pampasan yang dijanjikan kepada pemilik tanah perlu diselesaikan mengikut syarat yang dijanjikan oleh pihak yang sepatutnya.



"Isu pengambilan tanah termasuk jumlah pampasan ditentukan oleh kerajaan pusat, tapi jika mereka tidak berpuas hati boleh membawa isu ini ke mahkamah. Biar pihak mahkamah yang buat keputusan.

"Jika perlu dibuat rayuan kepada pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) kita akan bagi sokongan tetapi sebelum itu kerajaan negeri perlu tunggu keputusan mahkamah," katanya.

Ahmad Razif berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi perbahasan Bajet Terengganu 2018 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.



Sebelum ini, lebih 30 penduduk yang tanah mereka terlibat dengan projek pembangunan KT-Bypass telah melakukan demonstrasi di perkarangan Wisma Darul Iman dengan menyatakan ketidak puasan hati mereka mengenai jumlah pampasan yang diterima.

-Terengganu News-

No comments

Powered by Blogger.