Sepak Takraw Terengganu Sasar Lebih Pingat Emas

Bapa angkat kepada sukan sepak takraw bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2016, Bazlan Abdul Rahman yakin atlet pasukan tersebut mampu mencapai Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).



Bazlan berkata, dengan latihan serta persiapan yang telah dijalankan oleh atlet-altet sepak takraw bermula tahun lepas, tidak mustahil mereka akan mengutip pingat emas lebih dari sasaran.

“Harapan kami cukup tinggi kerana pada tahun 2010 dan 2012, kita merupakan juara berpasukan tapi malangnya pada 2014 kita telah tewas. Walau bagaimanapun, KPI yang diletakkan oleh MSNT kepada pasukan sepak takraw ini kita akan capai pada tahun ini.

“Jika pemain-pemain kita bersedia dari segi mental, saya cukup yakin kita dapat melebihi sasaran dari dua pingat emas kepada tiga kerana dari sudut latihan serta pengalaman ianya sudah mencukupi,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Temu Mesra Bapa Angkat dan Jabatan Angkat di Gong Badak, Kuala Nerus.

Turut hadir Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu, Shapian Ali dan Pengurus Sukan Sepak Takraw Sukma 2016, Muhammad Alauddin Wahab.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan, Mohd Futra Abd Ghani turut yakin dengan kemampuan atlet sepak takraw yang akan mula berentap di Stadium Bandaraya Miri bermula 23 Julai ini.

“Untuk memperoleh dua pingat emas bagi sepak takraw, ianya tidak mustahil jika pemain terus mengekalkan momentum sepanjang dua bulan terakhir kerana saya nampak kesungguhan mereka.



“Bagi kategori antara pasukan, saya boleh katakan kita mempunyai antara pasukan terbaik kerana kita berjaya menjadi juara bagi pra Sukma pada hujung tahun lepas namun,” katanya.

Pasukan sepak takraw yang dianggotai oleh 30 orang atlet dan 10 orang pegawai akan berangkat ke Sarawak pada hari ini.

Bagi peringkat kumpulan (lelaki), Terengganu akan bertemu pasukan dari negeri Pahang dan Melaka. Manakala peringkat kumpulan (wanita) pula akan bertemu pasukan dari negeri Wilayah Perseketuan dan Kelantan.

No comments

Powered by Blogger.