Mahathir Umum Tubuh Parti Baru & Bakal Bekerjasama Dengan Pakatan Harapan

Tun Mahathir Mohamad kini mengambil alih peranan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai jurucakap pembangkang di Malaysia selepas mengumumkan AKAN tubuh parti baru dan berkerjasama dengan Pakatan Harapan tidak lama lagi.



Sebelum ini, Anwar dilihat sebagai tunjang kekuatan pembangkang sehinggalah beliau dipenjara awal tahun lepas.
Mahathir mengisytiharkan pakatan baharu pembangkang iaitu parti baru yang ditubuhkannya nanti bersama Pakatan Harapan.
Bagaimanapun Mahathir memberitahu beliau tidak akan mengetuai parti berkenaan ataupun bertanding pilihanraya umum akan datang.
"Saya akan menjadi yang pertama menyertai... tetapi tidak semestinya sebagai presiden, cukup sekadar memainkan peranan penting nanti," katanya.
Sebelum sidang media itu, bekas perdana menteri itu mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang antaranya Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, bekas pemimpin PAS, Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Presiden PAN Salahuddin Ayub yang turut disertai bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Untuk rekod, tidak ada seorangnya anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan hadir dalam pertemuan dengan Mahathir itu.
Bagaimanapun, bertindak seperti de facto ketua pembangkang, Mahathir mengumumkan pakatan baru tersebut masih belum mempunyai nama khusus akan bergerak sebagai badan tertinggi untuk menyusun usaha dari sekarang sehingga PRU-14.
"Kita mahu mendedahkan segala penyelewengan BN dan membentuk kerajaan baharu bagi negara kita.
"Kita juga memutuskan untuk mengenepikan sebarang perbezaan antara parti komponen dan menumpukan kepada mencapai kemenangan," katanya.
Ditanya sama ada Shafie akan turut menyertai parti baharu itu, Dr. Mahathir berkata, Ahli Parlimen Semporna itu antara individu yang paling banyak bercakap dalam mesyuarat tersebut.
"Shafie ada tadi dalam mesyuarat dan beliau paling banyak bercakap," katanya tersenyum.
Ditanya pendirian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, katanya, bekas Timbalan Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Kedah itu pada dasarnya bersetuju untuk menyertai parti baharu itu.
"Mereka telah bersetuju dan tidak hadir mesyuarat kerana kini berada di luar negara," katanya.
Pada Rabu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyifatkan pergerakan Mahathir menerusi parti baharu nanti adalah cara halal untuk menentang kerajaan melibatkan pemimpin yang tidak berpuas hati.

Dengan nada sinis, beliau berkata bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menjadi timbalan Dr Mahathir dalam parti baharu itu.

"Mukhriz Mahathir mungkin boleh jadi Ketua Pemuda dan Rafidah Aziz selaku Ketua Wanita manakala Khairuddin boleh menjadi budak 'tea boy'," katanya lagi.-14/7/2016

No comments

Powered by Blogger.