Kerajaan Persekutuan Bersetuju Membayar Balik Tuntutan RM1.83 Bilion Kepada Terengganu (LPT2)


Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) telah dibina atas inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu untuk kemudahan rakyat yang mula dibuka sepenuhnya pada 31 Januari 2015 yang lalu.



LPT2 ini telah beroperasi hampir 1 tahun 6 bulan di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) tanpa mengenakan sebarang bayaran tol kepada pengguna yang melalui LPT2 bagi memberi ruang kepada pengguna dan penambahbaikan.

Walaubagaimanapun, LPT2 ini memerlukan kos operasi yang tinggi bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan.

Namun demikian, kita harus mengambil maklum bahawa kutipan bayaran tol adalah bertujuan untuk menyediakan kemudahan kepada pengguna seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna-pengguna LPT2.

Bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan operasi tersebut, LLM telah mengumumkan kutipan tol akan mula beroperasi pada 15 julai 2016 pada jam 00.01 pagi.

LPT2 ini telah memberi banyak kemudahan kepada rakyat di pantai timur, bukan sahaja kepada rakyat negeri Terengganu tetapi juga Kelantan dan Pahang tatkala tiba menjelang musim perayaan.

LPT2 ini telah menjadi laluan utama untuk pengguna pulang beraya dan banyak membantu merancakkan ekonomi Negeri di Pantai Timur bagi urusan pengangkutan, pelancongan & lain-lain.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri tidak mengendalikan operasi LPT2 ini kerana mana-mana lebuhraya yang terdapat di Malaysia adalah di bawah LLM.

Oleh kerana itu, kerajaan negeri telah menuntut kembali RM1.83 billion daripada kerajaan Persekutuan yang mana jumlah itu merupakan kos pelaburan kerajaan negeri ke atas pembinaan LPT2 tersebut.

Pada dasarnya Kerajaan Persekutuan telah bersetuju membayar balik RM1.83 Billion tersebut kepada kerajaan negeri Terengganu dan kedua-dua pihak kini sedang meneliti kaedah-kaedah pembayaran semula.

Daripada jumlah pembayaran tersebut juga Kerajaan Negeri akan mengunakannya bagi melaksanakan cadangan pembinaan Leburaya Pantai Timur 3.

Menurut kenyataan media Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pembinaan LPT3 juga dapat mengurangkan kesesakan dari Kampung Gemuruh di Kuala Terengganu hingga ke Besut yang terjadi setiap kali musim perayaan.

Katanya kos pembinaan LPT3 sepanjang 170 kilometer itu dijangka menelan belanja RM2.4 bilion.



Pada dasarnya pembinaan LPT3 telah diluluskan Perdana Menteri dan ia dalam peringkat mengenal pasti lokasi dan menyiapkan reka bentuk oleh pihak dipertanggungjawabkan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Haji Ahmad Razif turut menekankan dalam kenyataannya bahawa pada dasarnya projek itu telah mendapat persetujuan Perdana Menteri dan bersetuju agar Projek Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) mengenal pasti serta menyediakan reka bentuk LPT3 sepanjang 147 kilomoter yang menghubungkan Gemuroh di Kuala Terengganu ke Tumpat Kelantan.

Kerajaan negeri akur untuk tidak melantik konsesi sendiri bagi kutipan tol di atas sebab yang tersendiri.

Ini kerana, menurut kajian yang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), sekiranya kerajaan negeri mengutip sendiri tol untuk menampung kos sebanyak RM1.83 billion itu, ianya akan mengambil masa lebih daripada 30 tahun dan sudah tentu kita terpaksa menunggu tempoh yang agak lama untuk mendapatkan kembali jumlah pelaburan yang kita buat.

Tambahan pula, sasaran pengguna LPT2 sebelum ini ialah sebanyak 50,000 kenderaan atau lebih sehari bagi mencapai jumlah kutipan tol untuk menampung kos pembinaan, operasi dan penyelenggaraan.

Namun, statistic menunjukkan secara purata kasar, lebih kurang 20,000 kenderaan sahaja yang menggunakan LPT2 ini setiap hari, di mana 30,000 kurang daripada target asal.

Oleh itu, pihak kerajaan negeri meminta rakyat agar dapat memahami mengapa kutipan tol telah pun bermula pada tarikh yang ditetapkan serta tidak menimbulkan sebarang isu siapa yang berhak ke atas pengendalian operasi terhadap LPT2 kerana ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan pengguna.



YB Ir Rosli bin Othman
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Terengganu.

No comments

Powered by Blogger.