Emas Sepak takraw Sukma Hadiah Buat Rakyat Terengganu

Skuad sepak takraw Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-18 berjaya merangkul emas pertama bagi sukan tersebut apabila menewaskan pasukan dari Kelantan dalam pentas final kategori berpasukan lelaki yang berlangsung hari ini.



Sebelum menewaskan Kelantan 2-1 dalam acara yang berlangsung di Stadium Bandaraya Miri, Terengganu telah mengalahkan pasukan Pulau Pinang pada pusingan separuh akhir dengan keputusan 2-0.


Ketua jurulatihnya, Mohd Futra Abd Ghani mengharapkan kemenangan itu mampu memberi suntikan semangat buat kem sepaktakraw Terengganu dalam melengkapkan dua sasaran pingat emas, satu perak dan dua gangsa.


Menurutnya, saingan yang diberikan sememangnya sengit bagaimanapun selepas menewaskan pasukan pilihan Pulau Pinang memberi keyakinan buat pemain dalam merealisasikan sasaran emas bagi acara berpasukan.

“Pada perlawanan akhir tadi regu A kita bermain dengan cemerlang dengan meraih kemenangan 2-0 (21-7, 21-10), bagaimanapun tewas ke atas regu B Kelantan, 0-2 (15-21, 13-21).

“Alhamdullilah strategi kita untuk menyimpan dua pemain terbaik kita pada regu ketiga berjaya membawa tuah apabila Irsyad Faiz Aziz dan Mohamad Ridauddin Abdul Ghani berjaya membantu pasukan untuk bangkit meraih kemenangan dengan 21-16, 21-16 sekaligus menghadiahkan emas pertama dari sukan sepaktakraw,” katanya.



Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan itu juga menyifatkan kejayaan yang diraih anak buahnya adalah hasil kesungguhan mereka ketika menjalani sesi latihan selain sokongan berterusan diberikan pihak Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu dan juga kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Kemenangan ini Juga adalah hadiah paling bermakna buat penyokong serta rakyat Terengganu yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada kami khususnya sukan Sepaktakraw.



No comments

Powered by Blogger.