Awas Penjual Bangkai Lembu Di Hari Raya

Bermula Syawal bermakna bekalan daging juga semakin meningkat sehingga kadangkala pengeluarannya tidak mampu menampung permintaan.
Sehari sebelum Syawal, tradisi orang Melayu mencari daging lembu dan ayam untuk dijadikan lauk pauk.
Justeru semakin ramai penjual daging baik di pasar atau di tepi-tepi jalan dan dalam masa yang singkat semuanya habis dijual.

Hendak pula permintaan daging bukan sahaja untuk hari raya pertama kerana ia disusuli dengan rumah terbuka sepanjang sebulan lebaran.
Bagaimanapun, ada pihak mengambil kesempatan dengan menjual daging hasil lembu yang dicuri semata-mata mahu duit raya.
Halal dan haram ditolak tepi, janji ia mendapatkan wang segera dan senario itu sering berlaku di negeri-negeri Pantai Timur.
Di Kelantan seperti contoh, masih ada kejadian kecurian lembu dan paling tragis lembu dibunuh dan pahanya dilapah untuk dijual.
Daging paha senang dilapah dan diambil berbanding daging bahagian lain.
Kejadian ini biasa berlaku di kawasan ternakan terbuka di kawasan pendalaman.
Ini bermakna, mereka bukan menjual bangkai kepada pelanggan yang kemudiannya memasaknya menjadi juadah raya.
Seorang penduduk Jeli, Samsul Bahari berkata, kejadian kecurian itu masih berlaku dan bangkai lembu yang dibunuh itu terbiar busuk di kawasan hutan.
"Pencuri biasanya penagih dadah dan mereka ambil bahagian paha dan dijual kepada sesiapa yang memerlukan daging. Pembeli pula tidak banyak tanya bila nampak daging segar dan harganya pula jauh lebih murah berbanding pasaran," ujarnya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.
Menurut Samsul, kejadian itu biasa berlaku di kawasan kampung kerana di bandar pelanggan boleh mendapatkan bekalan daging import di pasar raya.
Sementara itu, menurut sumber persatuan pengguna, pelanggan mesti mengambil berat soal daging yang dibeli kerana ia berkaitan dengan hukum halal dan haram.
Justeru, pelanggan mesti bertanya dan mendapat kepastian atau sekurang-kurangnya melihat sama ada penjual ada menjual semua bahagian ternakan itu termasuk kepala.
"Tanya dia (penjual daging) mana kepala lembu? Jika tidak ada ia bermakna daging dijual itu boleh dipertikaikan," katanya lagi.--MalaysiaGazette

No comments

Powered by Blogger.