Tinggalan Sejarah Anak Raja Jambi Di Kuala Kemaman

Reka bentuk unik Rumah Jambi menerapkan unsur tradisi binaan Jambi, Sumatera, membuatkan rumah yang terletak di Kampung Laut, Pasir Gajah, Air Putih ini menjadi salah satu tinggalan sejarah yang sangat berharga buat daerah ini.

Rumah Jambi yang mula dibina pada tahun 1933 oleh Engku Mahmud Tengku Abu Bakar bersama pengikutnya mengambil masa hampir empat tahun untuk siap sepenuhnya.
Engku Mahmud Tengku Abu Bakar merupakan anak raja Jambi, Sumatera yang melarikan diri ke Tanah Melayu ketika diserang tentera Belanda ketika Perang Dunia Pertama meletus pada 1914.
Menurut sejarah, Kampung Pasir Gajah merupakan hasil daripada Engku Mahmud yang juga seorang tokoh agama terkenal apabila beliau menerokai dan menjadikan kawasan ini sebagai kampung.
Dengan saiznya yang besar, rumah berusia 77 tahun ini dibina menggunakan alang dan kasau yang besar untuk menampung saiz rumah tersebut sekaligus memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk mengangkatnya ke atas semasa pembinaannya.
Atap asal rumah pula ialah atap genting yang diimport dari Malibar, India melalui Singapura dan dibawa ke Pasir Gajah menerusi Kuala Kemaman dengan menggunakan tongkang, yang mana proses membawa atap itu dikatakan mengambil masa selama dua tahun.
Menurut penjaga rumah yang juga anak kepada Engku Mahmud, Mohd Ibrahim, 62, kawasan rumah sentiasa dijaga rapi bagi mengekalkan keaslian yang terdapat pada rumah ini.
“Walaupun telah berusia 77 tahun, rumah ini masih lagi dalam keadaan asal seperti yang telah dibina oleh bapa saya.
“Kami masih menyimpan pinggan mangkuk yang pernah digunakan disini. Malah ada diantaranya berusia lebih daripada 100”, katanya ketika ditemui di rumah tersebut.
Menelan kos sebanyak RM30,000 ketika itu, Rumah Jambi mempunyai banyak ruang iaitu sorong tamu, beranda kiri, beranda kanan, rumah ibu, rumah bandung, dan sorong dapur.
Lebih menarik seni bina rumah ini turut mempunyai pengaruh seni bina Islam, Inggeris, Melayu Johor dan sedikit pengaruh Melayu Terengganu.

Sumber-Teganukita

No comments

Powered by Blogger.