Facebook Platform Media Sosial Utama

Media sosial muncul sebagai sumber utama berita dalam kalangan pengguna dalam talian yang diakses melalui telefon pintar, lantaran itu berita percuma yang berkualiti menjadi cabaran kepada para penerbit.

Institut Pengajian Kewartawanan Reuters (RISJ) berkata, lebih separuh daripada pengguna dalam talian mendapatkan berita dari Facebook dan platform media sosial yang lain, menunjukkan pengguna enggan mengeluarkan wang untuk mendapat berita.
Walaupun berita percuma diagihkan melalui platform-plaform sosial mewujudkan peluang pembaca lebih ramai tetapi ia menyukarkan penerbit untik mengenal pasti dan berhubung dengan audiens, kata RISJ dalam Laporan Berita Digital Tahunan.
"Ia berlaku kerana kita. Kita memilih berita dalam bentuk digital kerana selesa tetapi anda dapat apa yang anda bayar. Ia memerlukan wang untuk kewartawanan profesional," kata Rasmus Kleis Nielsen, Pengarah Penyelidikan Institut Reuters.
Facebook menyaksikan peningkatan peranan yang ketara dalam pengagihan berita dalam talian dengan 44 peratus pengguna menggunakannya sebagai sumber berita, diikuti YouTube dan 10 peratus lagi menggunakan Twitter.
Nielsen berkata, negara-negara membangun yang akses kepada berita bebas dan boleh dipercayai dan terhad, juga mempunyai lebih ramai pengguna yang bergantung kepada sosial media bagi mendapatkan berita.
Kebanyakan pengguna di Asia dan Afrika menggunakan telefon bimbit untuk mendapatkan berita dalam talian dan sosial media di rantau itu lebih penting sebagai sumber berita.
Sejumlah 60 peratus orang memilih berita algoritma berbanding dengan 30 peratus yang bergantung kepada editor atau wartawan, walaupun sesetengah dikhuatiri hilang maklumat penting atau pandangan mencabar, kata laporan itu.
Untuk pertama kalinya media sosial telah mengatasi televisyen sebagai sumber utama berita bagi pengguna yang berusia antara 18 hingga 24 tahun dengan 28 peratus menyatakan media sosial sebagai sumber utama berita berbanding dengan 24 peratus yang menonton berita televisyen.
Lebih separuh daripada responden berkata, mereka telah menggunakan telefon pintar untuk mengakses berita, dengan tahap tertinggi di Sweden (69 peratus), Korea (66 peratus) dan Switzerland (61 peratus), menurut kajian tersebut.
Tinjauan ini dilakukan melibatkan 26 buah negara di Eropah, Asia, Amerika Utara dan Amerika Selatan. - MalaysiaGazette

No comments

Powered by Blogger.