Bukit Puteri Sejarah Puteri Bunian Yang Semakin Di Lupakan

Bukit Puteri Kuala Terengganu terletak berhampiran Pasar Besar Kedai Payang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada masyarakat Terengganu yang sedia maklum lokasi itu penuh dengan kisah dan bahan sejarah.
Asal usul sebenar yang wujud ketika abad Ke-16 itu tidak dapat dipastikan, tetapi menurut cerita segelintir pihak ia menjadi tempat tinggal Puteri Bunian yang mempunyai pelbagai perkakas majlis keramaian dan perkahwinan.

Menjadi kelaziman bagi penduduk berdekatan meminjam perkakas itu apabila ingin melangsungkan sesuatu majlis. Malangnya apa yang dipinjam itu tidak dipulangkan atau menggantikan barang yang pecah.
Akibat kecewa dengan sikap penduduk, puteri merajuk dan melarikan diri ke sebuah bukit di daerah Besut.
Selepas peristiwa itu, penduduk kampung sepakat menamakan kawasan itu sebagai Bukit Puteri.
Pendapat lain, Bukit Puteri  meliputi kawasan seluas 0.688 hektar dan mempunyai ketinggian lebih kurang 200 meter itu menjadi kubu peperangan saudara yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mansur II pada 1831 sehingga 1836, Sultan Muhamad I (1836-1839) dan Sultan Umar (1839-1876).
Di atas Bukit Puteri  itu terdapat tiang bendera untuk menaikkan bendera Diraja pada hari-hari kebesaran yang pernah berlangsung suatu ketika dahulu.
Tiang bendera bertinggian 18 meter dan ditanam sedalam 2 meter itu mula dipasang pada 1899 iaitu ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
Disebalik tiang bendera itu pula, terdapat bilik dalam tanah. Ia berkemungkinan menjadi tempat penyimpanan peluru dan ubat bedil.
Terdapat juga peninggalan singgahsana raja yang ketika itu menjadi menjadi tempat kawalan. Tidak ketinggalan Pihak Berkuasa Tempatan turut mengekalkan rumah api dan beberapa meriam dan genta atau dikenali sebgai loceng besar.
Menurut sejarah, meriam diberi nama Sri Johor, Sri Buih, Laila Majnun dan Sri Jamlor itu direka khas oleh pakar dari Portugis, Sepanyol dan orang Melayu tempatan.
Manakala genta pula hasil tangan seorang tukang bernama Wan Ali Wan Awang dengan dibantu oleh beberapa tukang lain dari Kampung Tanjung dan Kampung Paya, Kuala Terengganu.
Genta seberat 175 kilogram (kg) ini diperbuat daripada tembaga kuning, digunakan untuk memasyhurkan atau mengkhabarkan kepada orang ramai tentang kegemparan yang berlaku di dalam negei seperti musuh datang melanggar, kebakaran dan lain-lain.
Genta ini dipalu dengan kuat apabila berlakunya peristiwa atau sebarang kegemparan bagi membolehkan rakyat jelata bersiap sedia untuk menghadapi apa-apa kemungkinan.
Pengarah Lembaga Muzium Negeri, Encik Mohd Yusof, berkata Bukit Puteri cukup bernilai kerana bukan sahaja destinasi pelancongan malah menyimpan pelbagai bahan rahsia dan sejarah terutama membabitkan kerabat Diraja di zaman dahulu.
Katanya, setiap hari lokasi ini pasti menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka yang tinggal di luar negara seperti Singapura, Thailand, China dan Amerika Syarikat.
“Pelabagai tujuan dan aktiviti dilaksanakan apabila tiba di puncak Bukit Puteri, termasuk membuat kajian, lawatan dan beristirehat,” katanya.
Cukup mudah untuk lokasi itu kerana ia berdekatan dengan Bazar Warisan, Pasar Payang, Istana Maziah, Pejabat Pos dan jeti.
Jika pengunjung berada di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) atau stesen teksi hanya mengambil masa tiga hingga lima minit untuk ke lokasi itu.

No comments

Powered by Blogger.