Polis Buru 3 Lelaki

Polis buru tiga lelaki
Lori ais seberat satu tan yang dipandu suspek.
DUNGUN - Tiga lelaki yang juga suspek kes curi kenderaan di Kuantan Jumaat lalu dapat meloloskan diri selepas dikejar sejauh kira-kira 100 kilometer (km) oleh pihak polis.
Sebuah lori satu tan berkenaan diburu oleh pihak polis bermula dari Kuantan dan tugas itu diambil oleh polis kemaman serta seterusnya di kejar oleh pasukan peronda dari IPD Dungun sehinggalah kenderaan itu diberhentikan di Felcra Jongok Batu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.25 pagi, pasukan polis peronda IPD Dungun menerima maklumat mengenai sebuah lori satu tan yang mencurigakan diekori kereta ronda Balai Polis Pasir Gajah telah menghala ke kawasan pentadbiran Balai Polis Al-Muktafi Billah Shah (AMBS)/ Bukit Besi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, susulan maklumat itu pasukan polis peronda yang menggunakan Proton Inspira telah membuat pemerhatian di simpang bandar AMBS.
Menurutnya, kira-kira jam 3.30 pagi sebuah lori didapati telah memasuki simpang AMBS menuju ke Jongok Batu.
“Pasukan peronda telah mengekori lori tersebut dan memberi arahan berhenti beberapa kali tetapi kenderaan itu tidak berhenti dan terus memecut laju. Lori berkenaan juga cuba menghimpit kereta peronda yang dinaiki pasukan polis.
“Sampai di kebun kelapa sawit Felcra Jongok Batu, lori tersebut terus memasuki simpang ke dalam ladang sawit. Lori itu berhenti secara tiba-tiba dan didapati tiga lelaki telah keluar dari bahagian pemandu dan penumpang hadapan. Mereka telah melarikan diri ke dalam hutan,” katanya sambil memberitahu tiga lelaki itu masih diburu dan salah seorang daripada mereka telah dikenal pasti dan sedang dikesan.
“Pasukan polis cuba mengejar dan mengesan kesemua suspek yang melarikan diri di dalam hutan tetapi gagal kerana keadaan gelap. Hasil semakan didapati lori yang dipandu itu dilaporkan hilang pada 15 Mei lalu  di Kuantan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.