KUALA TERENGGANU- Seorang pekerja pelantar minyak berdepan hukuman gantung sampai mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam atas tuduhan mengedar pil kuda, 9 Mei lalu.
Tertuduh, Mohd Zuraimi Awang Hitam, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah mengedar pil kuda seberat (berat kasar) 158.26 gram di tepi jalan Kampung Cenerong Lebam, Ajil, Hulu Terengganu, jam 9.30 malam, 9 Mei lalu.
Dia yang berasal dari Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Nerus, mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana R Azmi di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Kuala Berang sementara menunggu laporan kimia.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.