Besut Sebuah Negara, Itu Hanya Tinggal Sejarah

Istana Tengku Long milik pemerintahan Raja Besut dibina sekitar tahun 1888 kini masih berdiri kukuh setelah ia dipindahkan ke Muzium Terengganu di Losong, Kuala Terengganu
Melalui cerita lisan yang saya peroleh daripada penduduk-penduduk di Besut sekitar tahun 1972, Besut pernah dikuasai oleh seorang ketua lanun yang bernama Sang Nyana.

Menurut Misbaha dalam buku Detik-Detik Sejarah Terengganu, Raja Sang Nyana yang membuka Besut menyerahkan pula Besut kepada seorang lagi ketua masyarakat orang Asli bernama Pak Wong.

Waktu Pak Wong menjadi ketua orang Asli di Besut inilah sekumpulan orang Melayu dari Palembang yang diketuai oleh Wan datang ke Besut.

Wan memujuk Pak Wong supaya berpindah ke tempat kain kerana Besut hendak dijadikan sebuah perkampungan bagi masyarakat Melayu dari Palembang itu.

Mereka bercita-cita hendak membuat kawasan sawah padi dan juga sebuah pelabuhan untuk persinggahan nelayan-nelayan yang menggunakan sungai Besut dan Laut China Selatan.

Pak Wong akhirnya bersetuju untuk berpindah jauh ke darat iaitu ke arah hulu Sungai Besut.

Kononnya puak-puak orang Asli yang masih ada di hulu sungai Besut sekarang ini adalah berasal daripada keturunan Pak Wong.

Ketua masyarakat orang Melayu Palembang yang dipanggil Wan itu lalu menamakan tempat tersebut sebagai Palembang, sempena nama tempat asal mereka di selatan Pulau Sumatera.

Namun nama Besut masih juga kekal.

Nama Palembang digunakan di sekitar tapak rumah ketua masyarakat Melayu Palembang sahaja dan di situlah didirikan kota juga istana sebagai pusat pemerintahan seluruh Besut.

Ini berlaku kira-kira pada pertengahan abad ke-19.

Tidak lama selepas Wan membuka Palembang dan Besut, lanun-lanun dari laut Selat Melaka mula mengganas. Mereka mula mengganas dan menyerang Palembang.

Banyak harta benda yang dirampas. Oleh itu Wan terpaksa meminta bantuan daripada Sultan Mansur Syah Pertama (1733-1793).

Sultan Mansur Syah telah menghantar angkatan tenteranya yang dikepalai oleh putera baginda, Tengku Abdul Kadir, untuk memusnahkan kegiatan lanun tersebut.

Akhirnya putera Sultan Mansur Syah itu dilantik menjadi pemerintah di Besut menggantikan ketua masyarakat Melayu Palembang iaitu Wan Namat.

Tengku Abdul Kadir adalah dianggap pemerintah Besut pertama yang bergelar Raja Palembang Pertama.

Ini berlaku pada kira-kira pertengahan abad ke-19, manakala Wan Namat pula dilantik menjadi seorang pembesar Besut.

Tengku Abdul Kadir lalu mendirikan pusat pemerintahan di sebuah kawasan yang hampir dengan tebing kiri mudik sungai Besut dan tempat itu disebut Kampung Raja.

Manakala Kota Palembang yang sedikit jauh dari Kampung Raja menjadi tempat tinggal Wan Namat.

Selepas kemangkatan Tengku Abdul Kadir, putera baginda yang bernama Tengku Ali dilantik menjadi Raja Palembang (Raja Besut) ke-2 (1861-1876).

Tengku Ali cuba memisahkan Besut daripada jajahan Terengganu yang ketika itu diperintah oleh Sultan Umar (1838-1876).

Sultan Umar lalu menghantar angkatan tenteranya yang berjumlah 8,000 orang untuk menyerang Besut.

Setelah dibedil dari laut dengan begitu hebat, orang-orang Tengku Ali terpaksa menyerah kalah dan Tengku Ali sempat melarikan diri ke Kelantan dan meninggal di sana.

Sultan Umar lalu melantik Tengku Ngah sebagai pemangku raja pemerintah Besut.

Namun tidak lama kemudian Besut diserah semula kepada pemerintah Tengku Cik Haji iaitu putera Tengku Abdul Kadir.

Namun tidak lama kemudian Besut diletakkan di bawah pemerintahan Terengganu.

Pada masa pemerintahan Tengku Cik inilah sebuah istana kayu yang indah telah didirikan.

Istana tersebut didirikan kira-kira tahun 1888 dan selepas itu baginda pun mangkat.

Kerana baginda tidak mempunyai putera, lalu dilantik Tengku Long (Tengku Seri Aria Raya) menjadi Raja di Besut.

Pada masa pemerintahan bagindalah beberapa buah istana didirikan termasuklah istana peninggalan Tengku Cik.

Oleh kerana baginda lama tinggal di situ lalu istana itu disebut Istana Tengku Long.

Tengku Long mempunyai beberapa orang putera dan puteri.

Salah seorang ialah Tengku Nik. Putera Tengku Nik yang bernama Tengku Putera Zainal Abidin Mahmud yang bergelar Tengku Seri Aria Raja berkenaan menyerahkan istana Tengku Long kepada badan Warisan Negara.

Tan Sri Mubin Sheppard merupakan orang yang bertanggungjawab memindahkan istana bersejarah itu ke tapak baru di kawasan Muzium Terengganu di Losong dekat Pulau Sekati, di daerah Kuala Terengganu.

Terdapat sebuah lagi istana yang masih kekal di Kampung Raja.

Di bekas istana itulah saya pernah bertemu bual dengan Tengku Sulaiman yang tinggal di istana tersebut pada tahun 1970-an.

No comments

Powered by Blogger.