Kisah Kejayaan Anak Jati Kuala Terengganu Buka Butik Polo Dalam Cafe Di KL

Sekali pandang dari luar, Butik Kafe Coreng yang terletak di deretan bangunan kedai dua tingkat di Blok F-1-1 di Pusat Komersial Setapak, Taman Danau Kota di Kuala Lumpur ini tidak ubah seperti kedai-kedai yang lain.
Gambaran pertama adalah sebuah kafe untuk tempat melepak secara santai namun jika melangkah ke dalam lagi, rupa-rupanya ia bersambung dengan butik pakaian berjenama antarabangsa Ralph Lauren.
Berada di dalam kafe ini, nilai eksklusifnya cukup terasa apabila berjaya membuatkan pengunjung mengimbau nostalgia zaman Melayu klasik.



Cukup menarik perhatian anak mata kewujudan pacuan empat roda jenama Land Rover model 88 warna merah putih yang dijadikan hiasan di tengah-tengah kafe.
Walaupun konsep suasana kampung yang diketengahkan oleh Kamal bersifat ringkas dan santai namun penggunaan barangan dan aksesori-aksesori lama seperti kerusi, meja makan, perabot dan piano di dalam butik kafe tersebut berjaya menonjolkan keistimewaannya yang tersendiri.
Nilai vintaj turut dapat dirasai apabila terdapat pacuan empat roda jenama Land Rover model 88 dibeli Kamal dari Kedutaan Amerika Syarikat dengan harga RM5,000.
Gabungan rona kayu perabot jati dan simbahan warna putih suci cat di segenap dinding coreng sahaja sudah cukup menyerlahkan keistimewaan butik kafe.
Gabungan tersebut mampu membuatkan setiap pelanggan yang bertandang ke butik kafe tersebut mampu relaks sambil menikmati secangkir kopi.

Menurut pemilik butik kafe tersebut, Wan Ahmad Kamal Wan Ibrahim, 41, dia baru berpindah ke situ sejak tiga bulan lalu dan sebelum ini beroperasi di Taman Melawati dan Dataran Wangsa Maju.
Ujar lelaki yang berasal dari Kuala Terengganu ini, coreng membawa maksud conteng.
Disebabkan koleksi pakaian yang dijualnya terdiri daripada edisi terhad dan mempunyai banyak contengan, Kamal mengambil keputusan untuk menamakan butik kafe tersebut sebagai coreng.
Jelasnya, idea menggabungkan café dan butik kerana ingin memberi peluang orang ramai membeli pakaian atau singgah makan sahaja.
“Bagi rasa mungkin ada yang datang sekadar melihat koleksi barangan dan pakaian namun tidak membelinya. Jadi mereka boleh singgah di kafé untuk minum seketika.
“Mungkin juga ada yang datang berteman dan beramai-ramai. Yang lain mungkin tidak minat masuk butik dan boleh menunggu sementara kawan mereka membeli-beli,” jelasnya.

Bagaimanapun, bagi mewujudkan konsep santai dan ringkas, Kamal membahagikan kedai tersebut kepada dua bahagian dengan menjadikan bahagian hadapan sebagai kafe yang menjual kudapan ringan seperti keropok ikan Terengganu, roti bakar, kek dan kopi.
Yang menarik, sentuhan magis lelaki yang mempunyai tiga orang cahaya mata itu berjaya membuatkan keseluruhan ruang kelihatan sangat kemas dan teratur biarpun kafe dan butik digabungkan di bawah satu bumbung.

“Sebagai seorang graduan hiasan dalaman dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta dan pernah berkhidmat sebagai seorang pakar pereka dalaman., pengalaman sebelum ini Jadi  secara tidak langsung banyak membantu saya dalam menghias dan mengubah suai butik kafe.
“Hampir keseluruhan proses pengubahsuaian ini saya lakukan bagi membolehkan konsep zaman dahulu yang diimpikan dapat diketengahkan sepenuhnya di dalam butik kafe ini mengikut cita rasa saya,” ujarnya.
Bagi memasuki bahagia butik, Kamal turut mementingkan hiasan rak baju yang tergantung kemas seperti bingkai bergambar di dinding butik kafe miliknya untuk sedap dipandang.



“Saya cuba tampilkan konsep santai dan tidak terlalu serius supaya pelanggan tidak takut untuk datang ke butik kafe ini. Lebih-lebih lagi butik ini menjual pakaian berjenama yang dijual dengan harga serendah RM100.
“Disebabkan itu saya cuba tampil kelainan dengan memasukkan unsur-unsur santai seperti penggunaan kerusi dan meja kopi yang ringkas,” ujarnya.
– MalaysiaGazette

1 comment:

Powered by Blogger.